Sunday, August 29, 2010
Menghidupkan 10 Malam Terakhir Ramadhan
Menghidupkan malam Qadr mempunyai fadilat yang amat banyak kerana Allah SWT menjadikan malam itu lebih baik dari seribu bulan. Sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Ar-Rasul SAW telah bersabda:
Sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan keikhlasan akan diampunkan dosanya yang telah lalu dan dosanya yang akan datang, sesiapa yang menghidupkan qiyamullail dengan penuh keimanan dan keikhlasan akan diampunkan dosanya yang telah lalu dan yang akan datang.
Dosa itu merangkumi sama ada dosa kecil ataupun dosa besar. Tetapi pendapat yang terkenal mengenai hadith ini menunjukkan kepada dosa kecil sahaja yang akan diampunkan. Dosa besar tidak akan diampunkan kecuali dengan taubat nasuha serta memenuhi syaratnya iaitu menyesal di atas perbuatan itu, berazam tidak tidak akan mengulangi untuk melakukan dosa dan memulangkan hak sesiapa yang diambil. Imam Nawawi berkata: Telah maklum bahawa pengampunan dosa hanyalah untuk dosa-dosa kecil sahaja.
Qiyamullail
Menghidupkan malam Qadr boleh dilakukan dengan mendirikan solat terawikh, membaca Al-Quran, bertahajjud, berzikir dan berdoa.
Solat adalah merupakan bekal. Bila dilakukan di keheningan malam, maka ia semakin memperkaya bekal. Bangun pada waktu malam merupakan mujahadah untuk memperkuat tekad dan kehendak, mengalahkan syaithan, dan melatih jiwa untuk tunduk kepada Allah. Zikir kepada Allah dan membaca tasbih pada waktu malam merupakan santapan ruhani dan bekal bagi ruh serta hati.
Setiap kita pernah melakukan dosa dan tidak sempurna dalam melakukan kewajipan. Kerananya sangat tepat bila kita mengetuk pintu Allah pada waktu sahur untuk meminta keampunan dan rahmatnya. Sebab waktu itu adalah merupakan saat terkabulnya doa. Doa pada waktu malam yang paling menyenangkan dan paling afdal; di tengah malam yang hening seorang hamba merendahkan diri untuk meminta kepada Tuhannya, agar memperkenan permintaannya.
Abu Umamah ra. telah berkata bahawa seseorang bertanya telah bertanya; "Wahai Rasulullah, do'a apakah yang paling didengar oleh Allah? Rasulullah menjawab: Doa di malam yang terakhir dan di setiap solat wajib." [HR Muslim]
Doa pada waktu sujud itu amat penting, kerana waktu sujud adalah detik seseorang dekat dengan Tuhannya. Oleh itu, sangat tepat bila seorang Muslim bersungguh-sungguh berdoa saat itu. Dari Abu Hurairah ra., bahawasanya Ar-Rasul saw. bersabda: Sedekat-dekat hamba tuhan pada tuhannya adalah saat ia bersujud, kerana itu perbanyakanlah berdo'a (waktu sujud.) [HR Muslim, Abu Dawud dan An-Nasa'i]
Dari Abu Hurairah ra. bahawasanya Ar-Rasul saw. bersabda: Ketika malam sudah sampai sepertiganya yang terakhir, Allah turun ke langit dunia lalu berkata: Siapa yang berdoa kepadaku akan Aku perkenankan, dan siapa yang memohon ampun-Ku, akan Aku ampuni. [HR Bukhari dan Muslim]
Apakah patut kita menunda-nunda dan bermalas-malasan setelah janji yang menggiurkan seperti itu? Andai kata diumumkan kepada manusia: sesiapa yang datang pada malam tertentu, akan mendapat harta, daging segar, atau kekayaan dunia lainnya, tentu mereka akan segera datang dan berebut-rebut.
Rumah yang selalu dihidupkan dengan qiyamullail adalah rumah yang selalu dikunjungi malaikat, diliputi rahmat, dan dipenuhi kebahagiaan yang hakiki.
Hal yang dapat membantu kita untuk melakukan qiyamullail ialah:
Keikhlasan niat,
Memperkuat tekad,
Memperbaharui taubat,
Menghindari maksiat pada siang harinya,
Segera tidur,
Melakukan tidur siang hari, dan
Memohon bantuan dari Allah SWT.
Malam itu tidak ditetapkan dan ditentukan masanya, bahkan cuma diberitahu secara umum pada sepuluh malam yang terakhir yang terdiri dari malam-malam ganjil bulan Ramadan.
Ubadah bin al-Samit berkata bahawa pada suatu malam ar-Rasul saw. keluar untuk memberitahu kami mengenai malam Qadr. Tiba-tiba dua orang Islam sedang bertelagah. Lalu baginda bersabda, maksudnya:
Saya keluar untuk memberitahu kamu mengenai qiyamullail. Tiba-tiba sipolan dan sipolan telah bertelagah, lalu diangkat malam itu. Boleh jadi ianya lebih baik bagi kamu. Oleh itu carilah ia pada malam ke sembilan, ketujuh ataupun kelima.
Sebenarnya lailatul Qadr bukanlah diangkat disebabkan pertelagahan itu, tetapi yang diangkat itu ialah mengetahui dengan tepat, bila berlakunya malam Qadr. Ini dibuktikan melalui sabda baginda: Carilah ia.
Diikuti selepas itu dengan suatu peringatan bahawa pengangkatan ketentuan malam berkenaan itu adalah lebih baik melalui sabdanya: "Boleh jadi ianya lebih baik bagi kamu."
Ungkapan ini menjelaskan bahawa tidak memberi ketetapan malam tersebut adalah galakan untuk menghidupkan seluruh malam pada bulan itu ataupun sepuluh malam yang terakhir.
Malam... tanda-tanda dan waktunya
Allah swt. menetapkan bahawa waktu sebenar berlakunya malam Qadr tidak diberitahu secara jelas supaya manusia tidak bersikap malas. Sebaliknya Allah swt. menyembunyikan waktu terjadinya malam berkenaan supaya orang-orang Islam terus menghidupkan sebanyak masa yang mungkin sama ada pada waktu siang ataupun malam agar berterusan melakukan ibadat. Hal yang demikian juga berlaku di dalam banyak perkara. Allah SWT menyembunyikan saat kematian dan waktu sampainya ajal supaya takut pada Allah berterusan dan seorang Muslim juga mentaati Tuhannya tanpa henti.
Ibnu umar ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah saw. bersabda:
Carilah ia (malam Qadr) pada 10 malam terakhir. Sekiranya seseorang daripada kamu merasa lemah atau letih, maka janganlah lagi dia ditewaskan pada tujuh malam terakhir.
Malam Qadr mempunyai banyak tanda dan alamat. Di antara tanda-tandanya ialah matahari terbit dengan sifat yang ia tidak mempunyai sinaran yang terik. Malamnya nyaman, tidak panas dan tidak pula sejuk, waktu pagi matahari terbit dalam warna kemerah-merahan.
Perkara utama yang sepatunya diingati ialah bahawa Malam Qadr adalah suatu malam yang penuh kelebihan dan kemuliaan. Setiap daripada kita perlu mengambil kesempatan untuk melakukan ibadat dan jangan sekali-kali menahan dirinya daripada menadah tangan untuk berdo'a. Dengan menyebut:
اللهم إنك عفو تحب العفوفاعف عني
"Maksudnya: Ya allah! Engkaulah yang Maha Pemaaf dan Engkau suka memaafkan, maka maafkanlah diriku."
Imam Al-Sawi menyebut dalam kitab tafsirnya: Sebaik-baik doa yang dipinta pada malam itu ialah keampunan dan kesihatan.
Akhir kata, sama-samalah kita memohon kepada Allah agar memberi manfaat kepada kita dengan nilai-nilai kebaikan Ramadan serta bekal yang ada di dalamnya. Semoga Allah menjadikannya bermanfaat untuk kita.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment