Sunday, September 26, 2010

Kahwin usia muda bukan penghalang

JOHOR BAHRU 25 Sept. – Berkahwin ketika masih menuntut di menara gading tidak menghalang Muhammad Yazdaan Mohammad Aris cemerlang dalam akademik sehingga menerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) sempena Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-45 hari ini.

Muhammad Yazdaan, 23, berkata, isterinya, Syamimi Samuin, 23, siswazah Universiti Sains Malaysia (USM) yang dikahwininya tahun lalu banyak mendorongnya untuk berjaya di dalam pelajaran.

Beliau yang merupakan graduan Sarjana Muda Kejuruteraan (Petroleum) berkata, isterinya yang dikenali ketika menuntut di Kolej Matrikulasi Perak juga sering berkongsi idea dan pendapat di dalam pelajaran.

“Bagi saya, berkahwin pada usia yang masih muda walaupun masih belajar tidak salah, asalkan kita bijak membahagikan masa antara keluarga dan pelajaran.

“Saya juga bersyukur kerana mempunyai isteri yang berpendidikan kerana kami banyak berkongsi banyak perkara khususnya dalam bidang keilmuan,” katanya kepada pemberita selepas majlis konvokesyen itu yang diadakan di Bangunan Sultan Iskandar di sini hari ini.

Muhammad Yaazdan berkata, sebagai seorang mahasiswa, beliau tidak hanya menumpukan perhatian di dalam bidang akademik tetapi juga terlibat aktif dalam aktiviti kokurikulum.

Sementara itu, seorang lagi penerima Pingat Jaya Cemerlang, Woon Kok Sin, 24, yang merupakan graduan Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia berkata, beliau mengamalkan konsep belajar secara sistematik dan banyak berdiskusi bersama para pensyarah.

Seramai 5,482 graduan menerima ijazah dan diploma masing-masing sempena konvokesyen ke-45 universiti berkenaan yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini

Majlis penyampaian disempurnakan oleh Canselor UTM, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah (gambar) yang turut dimasyhurkan sebagai Canselor keempat pada Istiadat Pemasyhuran Canselor yang dijalankan sebelum majlis konvokesyen berlangsung.

(dipetik dari Utusan Malaysia)