Monday, August 8, 2011

Dakwah Nabi Muhammad s.a.w

PENDAHULUAN

Perjuangan Rasulullah dalam menegakkan syiar Islam mengharung liku-liku yang penuh ranjau. Bermula dengan menerima wahyu pertama diikuti dengan pendakwahan secara sembunyi dan terang-terangan. Semuanya diharungi dengan cabaran yang amat dahsyat. Baik tentangan daripada saudara terdekat mahupun daripada orang luar. Idea atau kabilah yang kuat kepada semangat perkumpulan menyebabkan perubahan yang ingin dibawa ditentang habis-habisan.

Kajian ini menerangkan dan membahaskan kaedah dakwah pada zaman Rasulullah, cabaran dan perbandingan dakwah pada masa dahulu dan kini. Sememangnya menunjukkan jurang penerimaan dan penyampaian dakwah yang sangat besar namun tugas seorang dai’e tidak hanya berhenti di satu-satu perhentian. Tetapi ia disesuaikan dengan keadaan sesebuah zaman.

Kajian ini juga menyentuh tentang faktor-faktor mengapa penentangan dakwah itu berlaku dan bagaimana Baginda menerima penentangan tersebut. Penjelasan ini adalah penting kerana ia akan menjadi rujukan untuk para dai’e pada masa depan andai menerima cabaran yang sama.

Akhirnya kajian ini diharapkan akan menjadi pembakar semangat dalam terus mengembangkan syiar Islam bersama-sama dengan iluan yang lain.

1.0 DEFINISI

P

erbincangan mengenai istilah memberikan ruang lingkup yang sangat luas. Pelbagai definisi dakwah yang dibincangkan membawa erti yang berbeza-beza. Menurut kamus dewan, dakwah ialah kegiatan menyeru dan meyakinkan orang lain supaya menerima sesuatu kepercayaan[1]. Kamus dewan juga menyatakan tentang patuh kepada ajaran agama Islam dengan lebih sempurna[2].

Tokoh-tokoh Islam pula memberikan memberikan maksud dakwah yang hamper selari dengan istilah yang telah dinyatakan di atas. Muhammad al-Ghazali menjelaskan maksud dakwah sebagai satu program yang lengkap yang mana kesemua peringkatnya mengandungi kesemua ilmu pengetahuan yang diperlukan oleh manusia bagi menjelaskan tujuan dan matlamat hidup bagi menyingkap jalan yang menjadi petunjuk kepada mereka.

Dr. Yusuf al-Qardhawi pula memberi definisi dakwah sebagai usaha membawa orang lain kepada agama Islam, supaya mengikut petunjuk agama dalam melaksanakan segala ketetapanNya di muka bumi ini, mengkhususkan segala bentuk perhambaan diri, permohonan dan taat kepada Allah sahaja, melepaskan diri dari segala kongkongan yang bukan dari Allah, menyeru kepada kebaikan dan menegah kemungkaran dan berjihad pada jalanNya[3].

Dr. Rauf Shalabi menerangkan bahawa dakwah Islamiyyah itu ialah gerakan membawa atau mengubah masyarakat daripada keadaan kufur kepada keadaan iman, daripada keadaan kegelapan kepada keadaan cahaya dan daripada keadaan sempit kepada keadaan lapang sama ada di dunia dan di akhirat[4].

Dari keseluruhan definisi dakwah ini jelas menunjukkan bahawa idea dakwah memberikan ruang lingkup yang amat luas yang secara keseluruhannya menyeru ke arah perubahan total yang membawa kepada kehidupan ukrawi yang bahagia.

2.0 CABARAN DAKWAH NABI MUHAMMAD SAW

N

abi Muhammad SAW menghadapi banyak cabaran dan halangan dalam menyebarkan agama Allah sepanjang hayat beliau sehingga nafasnya yang terakhir. Cabarannya bermula setelah wahyu Allah diturunkan kepada baginda melalui Malaikat Jibrail a.s. Apabila Rasulullah menyeru kaumnya ke jalan Allah, tidak ramai yang mendengar dan menyahut seruannya walaupun mereka mengetahui bahawasanya beliau tidak pernah berdusta. Disebabkan itu, baginda menyebarkan Islam secara rahsia.

Kebanyakkan pengikut baginda ketika itu terdiri daripada anggota keluarganya dan golongan masyarakat bawahan. Di antara mereka ialah isteri pertama Rasulullah iaitu Saidatina Khadijah Az-Zahrah, sahabat baginda, Saidina Ali, Zayd bin Thabit dan Bilal bin Rabah. Namun begitu, apabila baginda memperhebatkan lagi kegiatan dakwahnya dengan mengumumkan secara terbuka tentang agama Islam yang disebarkannya, semakin ramai yang mengikutnya[5].

Semangat penganut agama Islam juga meningkat apabila sekumpulan kecil masyarakat yang dihormati di Makkah menganut agama Islam. Antara mereka ialah Saidina Abu Bakar, Saidina Uthman bin Affan, Zubair bin Al Awwam, Abdul Rahman bin Auf, Ubaidillah bin Harith, Amr bin Nufail dan ramai lagi.

Akibat cabaran dari masyarakat jahiliyah di Makkah, sebahagian orang Islam diseksa, dianiaya, disingkir dan dipulau. Baginda terpaksa bersabar dan mencari perlindungan untuk pengikutnya. Baginda meminta Negus Raja Habsyah, untuk membenarkan orang-orang Islam berhijrah ke negaranya. Negus mengalu-alukan ketibaan mereka dan tidak membenarkan mereka diserah kepada penguasa di Makkah.

Di dalam tulisan “Dakwah Nabi Muhammad s.a.w di Madinah[6]” oleh Roziah Sidek (2002) menjelaskan cabaran, strategi dan hikmah penghijrahan baginda, memahami latar belakang masyarakat kota Madinah menjelang penghijrahan baginda ke kota tersebut, menyebut langkah-langkah awal baginda di Madinah dan menjelaskan perkembangan dakwah Islam yang berlaku selepas Sahifah Madinah.

Allah s. w. t. berfirman:

هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَى وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ


Maksudnya: "Dialah (Allah) yang telah mengutuskan rasulNya dengan hidayat dan dengan agama yang sebenar demi untuk mengangkatnya mengatasi agama-agama yang lain, walau dibenci oleh orang-orang yang syirik".

Semasa zaman Rasulullah, baginda menghadapi pelbagai jenis tentangan[7]. Apabila membincangkan idea cabaran dakwah Nabi Muhammad di Makkah, pada peringkat awal kaum Quraisy tidak mengendahkan usaha dakwah baginda di Makkah. Mereka menganggap baginda seorang yang suka berbicara tentang agama dan ketuhanan semata-mata. Mereka tidak terfikir Islam akan berkembang dengan pesat.

Walaubagaimanapun, sikap ini mula berubah apabila Nabi mula menyebarkan dakwah secara terbuka dan menyebabkan golongan bangsawan dan para pemimpin yang merasakan kedudukan mereka terancam bangkit bersama untuk mempertahankan agama datuk nenek mereka.

Menurut laporan yang dibuat oleh, Laporan al-Baladhuri: sewaktu baginda berdakwah kepada kaum kerabat di Bukit Safa. Usaha baginda diprotes dan ditentang kuat oleh bapa saudaranya sendiri iaitu, Abu Lahab. Protes Abu Lahab ini menandakan kemunculan babak baru dalam usaha penyebaran Islam di Makkah. Baginda juga menerima penentangan yang hebat oleh puak Quraisy.

2.1 Tahap Penentangan

Pada peringkat awal, pihak Quraisy mempengaruhi Abu Talib untuk memujuk Nabi berhenti berdakwah. Ini menunjukkan unsur diplomasi yang ditunjukkan oleh pihak Quraisy. Sembilan pembesar Quraisy dipilih untuk mewakili puak mereka untuk mengadap Abu Talib. Walau bagaimanapun usaha mereka gagal pada kali pertama. Namun usaha ini dilanjutkan untuk kali kedua tetapi masih lagi gagal. Mereka tetap memaklumkan kepada Abu Talib bahawa mereka tidak boleh bersabar dengan tindakan Nabi Muhammad. Akhirnya ini membawa kepada usaha yang ketiga dengan membawa ‘Umarah b. al-Walid sebagai ganti dengan Nabi Muhammad, tetapi masih lagi gagal[8].

Setelah usaha rundingan yang dibuat gagal, maka mereka melemparkan tohmahan palsu kepada Nabi Muhammad. Baginda disifatkan sebagai seorang ahli sihir dan banyak berdusta. Tuduhan ini dibuat oleh al-Walid b. al-Mughirah, pada musim haji. Baginda juga dituduh sebagai gila.

Selain dari itu puak Quraisy juga memberi tekanan kepada Bani Hashim dan Bani Muttalib. Hal ini dilakukan kerana kedua-dua Bani ini memberi perlindungan kepada Nabi. Padahal, pada masa yang sama puak Quraisy Makkah sedang menentang hebat usaha dakwah baginda ini. Justeru, kedua-dua Bani ini diboikot. Ia merangkumi larangan perniagaan, hal perkahwinan dan lain-lain. Walaubagaimanapun, larangan ini tidak dipatuhi oleh sebahagian daripada mereka.

Selain itu baginda Rasulullah s.a.w juga ditawarkan dengan tawaran yang menarik untuk berhenti berdakwah. Antaranya baginda ditawarkan dengan kekayaan, kemuliaan dan jawatan penting. Tetapi semua tawaran ini ditolak.

2.2 Faktor Penentangan

Antara faktor penentangan yang dilancarkan kepada Nabi Muhammad ialah kerana dakwaan Muhammad sebagai seorang nabi telah memberi kesan politik kepada pentadbiran Makkah dimana ia menyebabkan kepimpinan mereka berkurangan. Ramai orang mula mempercayai Nabi Muhammad dan meninggalkan agama asal mereka.

Selain dari itu aktiviti ekonomi di Makkah yang memberi keuntungan turut terjejas. Contohnya jualan berhala yang dahulunya memberi keuntungan yang besar telah merosot. Ini menyebabkan sumber ekonomi mereka terganggu. Amalan membuat dan menjual patung pula merupakan warisan nenek moyang mereka, Oleh itu, mereka begitu sensitif apabila Nabi Muhammad s.a.w. mencela agama berhala mereka.

Disebabkan kemerosotan ini maka penentangan terhadap Nabi telah berlaku. Faktor pemikiran konservatif juga sangat menyumbang kepada penentangan ini. Ini kerana mereka amat kuat dengan fahaman Jahiliah dimana pada waktu tersebut mereka berpegang kepada kelompok kabilah atau puak semata-mata.

Jika dikaji terdapat beberapa faktor sampingan yang mendorong Quraisy menentang Islam. Ajaran Islam yang disampaikan oleh Nabi Muhammad s.aw. itu bertentangan dengan agama berhala yang telah sebati menjadi darah daging orang-orang Makkah. Dari sudut akidah, Islam menekankan Tauhid, percayakan Allah yang Maha Esa dan menentang amalan syirik. Manakala agama berhala dianggap sebagai agama tradisi nenek moyang mereka yang mesti dipertahankan. Oleh itu Nabi Muhammad s.a.w yang dianggap sebagai orang yang mahu meruntuhkan tradisi itu[9].

Selain ini terdapat juga isu ingin mengekalkan kuasa dan pengaruh. Sebelum ini kepimpinan kota Makkah terletak di tangan Hasyim, moyang Nabi Muhammad s.a.w dan Abd Mutalib. Setelah itu berpindah ke tangan Abu Talib, bapa saudara Baginda. Besar kemungkinan kepimpinan itu akan diwarisi oleh Nabi Muhammad s.a.w kerana keupayaannya yang luar biasa. Jika mereka memeluk Islam dan mengikut Baginda bermakna kepimpinan itu akan terus berada di tangan Bani Hasyim.


Seterusnya ialah persamaan taraf. Agama Islam yang disampaikan Nabi Muhammad s.aw. ialah agama tauhid yang menyeru kepada keadilan sosial dan persamaan taraf manusia. Hal ini amat bertentangan dengan sistem sosial Jahiliyah yang masih dikuasai oleh kaum bangsawan Quraisy. Mereka masih berpegang dengan taraf dan kedudukan sosial yang berbeza. Dengan terlaksananya ajaran Islam, bermakna tidak ada lagi perbezaan antara ketua dan pengikut; antara yang kaya dengan miskin dan antara tuan dengan hamba. Pada pandangan Islam, semua manusia adalah sama sahaja kecuali bagi orang yang bertakwa.

Faktor takut akan hari pembalasan turut mempengaruhi kepada penentangan ini. Islam mengajar manusia tentang hari pembalasan atau hari kiamat. Wajib percaya kepadanya dan merupakan satu daripada Rukun Iman. Segala amalan di dunia sama ada baik atau jahat akan dikira pada hari pembalasan denganm saksama. Berita hari kiamat telah menakutkan kaum Quraisy Makkah kerana mereka sedar bahawa mereka telah banyak melakukan perkara keji yang ditegah oleh Islam seperti mencuri, merompak, berzina, minum arak dan mengamalkan riba Perbuatan ini akan dibalas dengan seksaan api neraka Tetapi mengikut agama berhala, segala dosa itu dapat dihapuskan di dunia juga tanpa menerima apa-apa balasan pada hari kiamat.

Terdapat juga isu perasaan iri hati. Mereka menentang Nabi Muhammad s.a.w. dan Islam kerana perasaan iri hati kedudukan Nabi Muhammad s.a.w sebagai Nabi dan Rasul. Antara mereka ialah Umayyah bin Abi al-Salt yang pernah menyatakan keinginan menjadi seorang nabi dan Al-Walid bin al-Mughirah berasa terlalu kecewa apabila mendengar Nabi Muhammad s.a.w menerima wahyu.


2.3 Reaksi Nabi Muhammad Terhadap Penentangan

Akibat penentangan berterusan yang diterima, pada 622M baginda bersama pengikutnya berhijrah ke Madinah. Ketibaan baginda yang sememangya dinantikan disambut dengan iringan kesyukuran dan kegembiraan yang dizahirkan melalui nasyid dan berselawat kepadanya. Di sana baginda menubuhkan negara Islam Madinah. Dalam proses pembinaan masyarakat baru, baginda meletakkan beberapa asas pembinaan masjid, mengadakan sistem saudara angkat yang dikenali sebagai al-muakhah dan mengadakan perjanjian dengan orang bukan Islam.

Selain itu baginda juga memerdekakan hamba. Baginda membebaskan mereka daripada siksaan Quraisy. Cabaran ini sama sekalitidak mematahkan semangat Baginda. Baginda juga telah mengambil beberapa langkah sebagai reaksi terhadap penentangan tersebut setelah berhadapan semua cabaran ini yang akhirnya Baginda digembirakan dengan peristiwa Isra’ dan Mi‘raj[10].


3.0 KEJAYAAN DAKWAH RASULULAH

Kita semua tahu bahawa Muhammad Ibnu Abdullah , Rasul akhir zaman dilahirkan di Makkah. Bermulanya Islam juga di Makkah. Juga kita tahu para sahabat pertama kali mereka diazab di Makkah. Demi mempertahankan Islam , mereka sanggup disiksa dalam semua bentuk.
Rasulullah S.A.W berjuang di Makkah hinggalah berhijrah ke Yathrib (Madinah). Sebelum berhijrah, baginda telah memerintahkan sahabat-sahabat baginda berhijrah ke Habsyah (Ethopia), tetapi di sana bukan tempat yang soleh untuk tertegaknya Daulah Islamiyah.

Wasilah yang sesuai perlu dicari. Untuk itu baginda telah menghalakan hijrah ke Madinah bagi menegakkan Daulah Islamiyyah. Melalui enam orang yang datang dari
Makkah , Islam telah dilancarkan di Madinah. Pada tahun keduanya , seramai 13 orang penduduk Madinah telah datang menemui Rasulullah S.A.W termasuk dua orang wanita.

‘Abdullah ibnu Maktum telah dihantar untuk mengajar Al -Quran Al-Karim kepada penduduk Madinah. Manakala Mus’ab bin ‘Umair mengajar Fiqh di sana. Tahun
hadapannya seramai 73 orang termasuk 9 wanita telah datang ke Madinah menemui Rasulullah S.A.W. Mulai dari saat itu Islam terpancar luas di Madinah dan di muka
bumi ini. Sesungguhnya Rasulullah S.A.W telah meletakkan asas kukuh untuk Islam dapat berkembang di Madinah.


Asas yang dimaksudkan itu adalah:

Ukhuwwah Islamiyah iaitu persaudaraan Islam yang kukuh dari nasab Muhajirin dan Ansar. Mereka berkorban dengan seluruh tenaga mereka. Imam Bukhari telah melaporkan gambaran persaudaraan mereka dengan membawa kisah ‘Abdur Rahman bin ‘Auf (Muhajir) dan Sa’ad bin Ar-Rabi’ (Ansar). Dua orang mereka ini telah dipersaudarakan oleh Rasulullah S.A.W.
Sa’ad telah berkata kepada saudaranya itu ;

Ini harta ku . Aku akan bahagi dua , untuk aku sebahagian dan engkau sebahagian. Aku ada dua isteri. Engkau pilih yang mana engkau suka , akan aku ceraikan. Habis Iddahnya engkau kahwinilah dia.”

Realiti ini merupakan kenyataan yang paling jelas dalam sejarah Islam . Kemudian kita lihat sikap dan suara hati ‘Abdur Rahman dalam menerima tawaran sahabatnya itu. Sebagai insan yang sudah melalui latihan Al Quran, ‘Abdur Rahman bin ‘Auf berkata ;

“Saudaraku ! Pinjamkanlah aku modal dan tunjukkan aku di mana pasar Madinah”

Dengan usaha gigihnya itu , beliau telah muncul sebagai insan yang terkaya sekali di Madinah pada masa itu. Suatu ketika beliau telah menemui Rasulullah SAW , lalu beliau ditegur “Bagaimanakah engkau dapat ini semua wahai ‘Abdur Rahman ?”Jawab ‘Abdur Rahman; “Aku telah berkahwin dengan wanita Ansar dan maharnya adalah ketul-ketul emas ya Nabi Allah” Rasulullah bersabda ; Buatlah sedikit majlis walimah untuk pasangan mu itu,wahai ‘Abdur Rahman” Begitulah sikap muslim sejati dalam menegakkan Islam yang dianutinya.


Mahabbah atau berkasih sayang ialah asas kedua ke arah pembentukan Daulah Islamiyah yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W. Asas ini dilahirkan dengan segala fungsi yang ada yang lahir dalam bentuk amali dalam masyarakat. Hasilnya dapat dilihat insan yang
mengutamakan sahabat seiman lebih dari diri sendiri. Ikatan mahabbah ini terpadu dalam ummah yang dibentuk atas asas iman kepada Allah S.W.T. Gambaran ini telah diterjemahkan dalam suatu peristiwa peperangan di zaman Rasulullah S.A.W. Perwira-perwira Islam yang luka parah,yang dahaga dan berhajat kepada air, telah diberikan sebekas air kepada salah seorang daripadanya. Sebaik hendak diminum, terdengar sahabat di sebelah meminta air, lalu air itu diberikan kepadanya. Sebaik hendak diminum , terdengar pula sahabatnya di sebelah lagi meminta air. Air tadi diberikan pula kepada sahabat berkenaan. Demikianlah ianya berlalu sehingga sahabat yang keempat belas. Sebaik air itu hendak diminum , sahabat yang ketiga belas pula meminta air. Keadaan ini menyebabkan air itu kembali kepada sahabat yang pertama, manakala sahabat yang selebihnya telah kembali menemui Ilahi. Akhirnya semuanya kembali ke rahmatullah.

Keadilan dan keseimbangan merupakan faktor ketiga dalam proses pembinaan Daulah Islamiyah yang dilaksanakan oleh Rasulullah S.A.W di Madinah. Gambaran ini dapatlah kita lihat dalam peristiwa pengutusan Sa’ad bin Waqqas ke Medan Al-Qadisiyyah dahulu. ‘Umar Al- Khattab selaku Amirul Mukminin telah berpesan kepada Sa’ad. “Sa’ad . Janganlah engkau tertipu dengan kedudukan engkau sebagai bapa saudara Rasulullah S.A.W dari sebelah ibu. Berlaku adil hendaklah menjadi pegangan kamu dalam setiap masa.”

Sesungguhnya sejarah telah melakarkan tentang betapa hebatnya kerja-kerja Rasulullah S.A.W mengikis habis saki baki karat-karat jahiliyyah dalam masyarakat muslim mukmin pada zaman baginda. Dan ianya terkesan sehingga ke zaman Khulafa’ Ar-Rasyidin.

Dengarlah apa pandangan ‘Uthman bin ‘Affan dalam kata-kata beliau iaitu ;

“ Muslim itu sebenarnya tidak ada tinggi dan tidak ada rendah , tiada hitam atau putih.

Mereka seperti gigi sikat. Mereka itu semuanya sama belaka”

4.0 KAEDAH DAKWAH RASULULLAH

Dakwah Rasulullah dijalankan dalam dua bentuk iaitu secara bersembunyi dan terang-terangan. Dakwah yang dijalankan secara sembunyi atau rahsia adalah dengan menyeru orang perorangan daripada kalangan keluarga yang terdekat dan sahabat-sahabat rapat. Kebanyakan pengahut Islam pada peringkat ini dari kalangan hamba dan orang miskin. Pada peringkat awal Rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam dijadikan sebagai pusat penyeruan Islam & mempelajari Islam secara sulit. Strategi dakwah secara sulit ini berjalan selama 3 tahun. Dalam tempoh itu orang-orang yang mula menerima Islam antaranya dikalangan wanita, Khadijah Al Khuwailid (isteri Rasulullah), Kalangan lelaki , Abu Bakar As Siddiq di ikuti sahabat lain spt Uthman b Affan Abd Rahman b. Auf. Kalangan kanak-kanak Ali bin Abi Talib manakala bagi kalangan hamba pula ialah Bilal bin Rabbah[11].

Bagi dakwah yang dijalankan secara terang-terangan pula terbahagi kepada 2 bahagian. Cara pertama yang dilakukan oleh Rasulullah ialah secara terus-terang kepada kaum kerabat. Cara ini dilaksanakan setelah menerima perintah Allah melalui firman Allah

وأنذ رعشيرتك الاقربين

maksud : “ Dan berilah peringatan kepada kerabatmu yang terdekat”

Setelah turun ayat ini, Rasulullah saw telah mengadakan jamuan di rumah Ali bin Abi Talib . Semua kaum keluarga dijemput & Rasulullah menerangkan tentang dasar-dasar agama Islam .Sebahagian daripadanya menerima dan sebahagian lagi menentangnya.

Seterusnya Nabi Muhammad meneruskan agenda dakwahnya secara terang-terangan kepada orang ramai. Dakwah ini dijalankan oleh Rasulullah setelah turun perintah Allah dim surah al hijr ayat 94 :

فاصدع بما تؤمر واعرض عن المشركين

maksud : Sampaikanlah secara berterus terang apa yang diperintahkan kepada kamu (wahai Muhammad) dan jangan engkau hiraukan bantahan dan tentangan kaum musyrikin

Apabila turun ayat ini Rasulullah terus menjemput kaum Quraisy serta pembesar-pembesar Quraisy menghadiri perjumpaan (rapat umum) di kaki bukit Safa dan menyeru mereka kepada agama Islam dan menyembah Allah swt. Dakwah pada peringkat ini menerima tentangan yang hebat dari kafir Quraisy. Penganut Islam khususnya golongan hamba dan orang miskin menerima pelbagai penyeksaan. Selepas peringkat ini, ajaran Islam terus tersebar luas dan pengikut Islam semakin bertambah meliputi penduduk dalam dan luar Makkah.

4.1 PENDEKATAN DAKWAH RASULULLAH

Terdapat tiga pendekatan yang digunakan oleh Rasulullah untuk menyampaikan dakwah. Pendekatan berhikmah atau bijaksana merupakan pendekatan yang pertama dibuat oleh Baginda. Pendekatan ini adalah menggunakan pendekatan yang sesuai dengan penerima atau kumpulan sasarannya. Baginda menjalankan dakwahnya kepada masyarakat dari peringkat hamba sehingga peringkat pemimpin atau cerdik pandai dengan menggunakan pendekatan yang berbeza. Dimana ia mengikut kesesuaian golongan tersebut.

Selain pendekatan berhikmah Rasulullah juga menyampaikan dakwahnya melalui contoh teladan yang baik. Baginda Rasulullah telah menunjukkan sifat peribadi yang unggul dan contoh teladan yang baik dan amat dikagumi oleh masyarakat ketika itu seperti berakhlak mulia, berlapang dada, pemaaf, amanah, pemurah dan lain-lain. Akhlak dan kemuliaan peribadian baginda adalah faktor terpenting kejayaan baginda dalam usaha menyebarkan agama Islam.

Kepetahan dan kebijaksanaan berhujah dan berbahas secara baik dan rasional juga merupakan pendekatan yang digunakan oleh baginda. Rasulullah sangat petah dlm percakapan. Setiap hujahnya bernas,jelas dan tepat berlandaskan petunjuk Allah s.w.t. Setiap hujah juga disertai contoh yang mudah difahami dan mudah diterima.

5.0 Tempat Dakwah Rasulullah

Sebagaimana yang diketahui setelah mendapat tentangan di Makkah baginda berhijrah ke Madinah. Setelah Rasulullah menerima wahyu pertama dari Allah SWT di Gua Hira’, maka bermulalah dakwahnya secara sembunyi. Hasil dari dakwah inilah munculnya sahabat yang ula’ (utama) memeluk Agama Islam seperti, Siti Khadijah,AbuBakar, Ali, Bilal, Mus’ab,Yasir, Amar, Sumayah dan lain-lain.

Terdapat beberapa aktiviti yang dilakukan oleh Rasulullah dalam fasa ini iaitu pemantapan akidah, pembentukkan sahsiah islamiyah, pembentukan Kutlah (kelompok) Dakwah dan bai’atul Aqabah

Hijrahnya kaum muslimin ke Madinah adalah sebagai awal mula marhalah (tahap) dakwah ketiga, yaitu Marhalah Tathbiq Al-Ahkaam Al-Islami (Penerapan Syari’at Islam). Terdirinya Daulah Islamiyah (Negara Islam) pertama sebagai pelaksana hukum Islam dan sebagai pengembang risalah Islam ke seluruh penjuru dunia melalui dakwah dan jihad. Ada pun tahap ketiga ini dimulai dengan tibanya Rasulullah ke Madinah melalui peristiwa hijrah Rasulullah pada tahun 622M bersama sahabat baginda, Abu Bakar. Setibanya di Madinah, Rasulullah SAW melakukan aktiviti sebagai berikut membina Masjid, membina Ukhuwah Islamiyah dan menyusun Piagam Perjanjian iaitu isi-isi Piagam Madinah.

6.0 PERBANDINGAN DAKWAH MASA KINI

Pada masa kini, dakwah islamiah tidak lagi menjadi dakwah secara sembunyi-sembunyi tetapi pendakwahan dilakukan secara terang-terangan. Jika zaman Nabi Muhammad dahulu pendakwahan melalui dua peringkat iaitu secara sembunyi dan seterusnya secara terang-terangan tetapi pada masa kini media massa menjadi medium utama kepada penyampaian dakwah. Keterbukaan masyarakat pada masa kini membincangkan dan membahaskan idea-idea agama tanpa menyentuh atau mengecam agama lain menunjukkan bahawa kaedah pendakwahan pada masa kini amat terbuka.

Jika diperhatikan penyampaian dakwah kini adalah mengikut jejak langkah pada zaman Rasulullah dimana ia disampaikan secara hikmah atau secara bijaksana dengan mengikut aliran semasa. Kaedah ini menjadi kaedah utama sebagaimana ketika di zaman Rasulullah. Jika di amati kaedah ini merupakan kaedah terbaik kerana ia tidak menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.

Sesuai dengan konsep Islam yang menekankan kesederhanaan maka penampilan pendakwah pada masa kini juga mengikut aliran semasa tanpa memesongkan fakta agama. Penyampai dakwah pada masa kini diperhatikan cuba memenangi penerimanya atau golongan sasaran. Untuk itu penyampaian dakwah adakalanya secara santai tetapi penuh berinformasi.

Bijak pandai ada mengatakan ‘Leaders are Learner’. Dimana ia bermaksud setiap ketua adalah pelajar yang terbaik. Ini kerana pendakwah adalah ketua dan setiap apa yang disampaikan akan menjadi refleksi kendiri kepada penyampainya. Dari itu ketua atau pendakwah akan menjadi contoh teladan di kalangan masyarakat.

Pendakwahan pada masa kini juga masih menekan kaedah penyampaian secara kuliah. Ada juga penyampaian yang dibuat secara rakaman dalam bentuk cd, kaset mahupun vcd. Ini menunjukkan kecanggihan teknologi yang dimanfaat sebaiknya. Berbanding pada zaman dahulu setiap bahan yang diperturunkan secara lisan hanya di catat di kulit-kulit pokok mahupun ranting.

Secara umumnya kebanyakan pendakwah pada masa kini masih lagi mengikuti kaedah pendakwahan zaman nabi dahulu. Cuma yang membezakan ialah sewaktu menyebarkan syiar Islam, Baginda Rasulullah menerima tamparan hebat dan memerangi mereka yang enggan menerima Islam. Tetapi pada masa kini penyebaran syiar Islam adalah terbuka luas dan material untuk tujuan tersebut mudah diperolehi di mana-mana.

Dipengaruhi dengan faktor keluarga yang menekankan nilai keislaman. Secara tidak langsung memudahkan tugas Dai’e menyampaikan ilmu pendakwahan kepada setiap insan.


7.0 KESIMPULAN

Dakwah Islamiah tidak pernah menemui noktah. Hasil kajian ini menunjukkan bahawa bukan mudah menegakkan syiar Islam di kalangan golongan assobiyah. Tetapi Nabi Muhammad mengajar tentang pentingnya dalam setiap perlakuan itu di mulai dengan hikmah atau kebijaksanaan dalam menangani sesuatu perkara.

Pendakwahan pada zaman dahulu dan kini memang menujukkan jurang yang sangat besar. Pada masa kini media massa dimanfaat sepenuhnya dalam menyebarkan Islam. Berbanding dahulu untuk menyebarkan Islam perlu dimulai dengan secara sembunyi-sembunyi. Faktor Islam yang diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi memudahkan penyebaran dakwah Islamiah. Malah pada masa kini begitu ramai pendakwah lahir menyumbang idea dengan kesesuaian mengikut zaman.

Semasa Nabi Muhammad mula menyebarkan Islam, baginda menangani setiap rintangan dengan kejayaan. Inilah pelajaran yang tak mungkin dipinggirkan dalam mencontohi Dakwah Rasulullah. Moga ia sentiasa menjadi sumber rujukan dan inpirasi kepada setiap dai’e.

RUJUKAN

1. Arief Salleh Rosman “Yakin & Ikhlas-Kisah-kisah dakwah Nabi Muhammad di Madinah” 1995,

2. Abu Ridhwan “Dakwah – Panduan Ulama” PTS 1999

3. Fiqh Sirah Rasulullah (PPPY1272;Universiti Kebangsaan Malaysia)

4. Khazali Idrus, “Dakwah Islamiah ”<http://sites.google.com/site/khazalii/10udi3052dakwahislamiah%28bab10%29>

5. Kamus Dewan Edisi Keempat p. 305

6. Roziah Sidek “Genius Muhammad SAW” 2002, Darul Kitab.

7. http://belchunk.blogspot.com/2008/06/dakwah-rasulullah-saw-periode-madinah.html

8. Risalah Usrah Jilid 3 – Bab: Seerah Nabawiyyah Dan Perjuangan (Abu Urwah)



[1] Kamus Dewan Edisi Keempat p. 305

[2] Ibid., p.305

[4] Ibid

[5] Roziah Sidek “Genius Muhammad SAW” 2002, Darul Kitab. P.3

[6] Ibid

[7] Ibid

[8] Arief Salleh Rosman “Yakin & Ikhlas-Kisah-kisah dakwah Nabi Muhammad di Madinah” 1995, P.8

[9] Ibid 6

[10] Ibid 6.

[11] Abu Ridhwan “Dakwah – Panduan Ulama” PTS 1999 P.36

No comments:

Post a Comment